JUN 2022

Uggah Dilantik Pro-Canselor Unimas


SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menganugerah pemasyhuran lantikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Pro-Canselor universiti itu hari ini.

Lantikan berkuat kuasa 24 Februari 2022 sehingga 23 Februari 2025 dan pemasyhuran itu diadakan pada Majlis Konvokesyen Komemoratif Unimas 2022 di Dewan Arena Gemilang DeTAR PUTRA, Kampus Unimas, di sini.

Majlis dihadiri Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangkap Pro-Canselor Unimas.

Naib Canselor Unimas, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata dengan pemasyhuran itu, Unimas mengharapkan  perhubungan antara universiti itu dengan kerajaan negeri bertambah erat dalam memacu pembangunan modal insan dan kemajuan negeri ini. 

"Unimas terus dimartabatkan sebagai institusi pengajian tinggi awam yang unggul bukan sahaja di Bumi Kenyalang, bahkan di pentas dunia," katanya pada majlis konvokesyen itu yang menyaksikan seramai 3,695 graduan 2020 menerima ijazah masing-masing. 

Kadim juga menzahirkan penghargaan kepada bekas Pro-Canselor, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang atas tunjuk ajar, sokongan, khidmat dan jasa bakti yang dicurahkan kepada Unimas sepanjang lantikan mulai 8 Oktober 2013 sehingga 7 Oktober 2021.

Sumber dari : Jiwa Bakti